Ayam masak merah adalah antara resepi yang akan dihidang setiap kali adanya sambutan yang istimewa seperti kenduri kahwin ataupun sambutan hari raya. Walaupun tiada sumber yang pasti tentang dari mana asal-usul masakan ini, tetapi ia lebih dikenali sebagai masakan tradisional Melayu.
Ada juga yang mengatakan resipinya berasal daripada keturunan baba nyonya. Walau dari manapun asal-usul lauk ini, masakan ini masih menjadi masakan kegemaran semua orang, tak kira umur dan bangsa.
Rupa dan Rasanya
Sama seperti namanya, lauk ini turut berwarna merah. Jika warna merah sentiasa dikaitkan dengan rasa pedas, jangan pula tertipu dengan lauk ayam masak merah ini. Walaupun masakan ini berwarna merah yang terang, tetapi ia bukan datang daripada penggunaan cili yang banyak.
Sebaliknya, warna merah adalah datang daripada penggunaan tomato dalam masakan ini. Meskipun penggunaan tomato selalu digunakan dalam masakan barat, tetapi dengan kehadiran cili, ia telah menyuntik rasa kemelayuan.
Ayam di dalam resepi ayam masak merah kenduri akan digoreng terlebih dahulu, membuatkan jus daging disimpan dan dikekalkan dengan baik. Tambahan pula apabila ia digaul sebati dengan serbuk kunyit dan garam — bahan perasa yang mudah tetapi sangat sedap — sebelum digoreng dengan minyak yang banyak.
Semasa proses mereneh ayam goreng di dalam kuah sambal, tisu otot daging tersebut akan terurai, menyebabkan daging tersebut menyerap segala lembapan dan perisa daripada kuah yang akan membuatkan ia menjadi lembut dan lembap. Lemaknya pula akan mencair masuk ke dalam kuah, menambahkan perisa dan meningkatkan lagi “umami” lauk ini.
Apabila menyuap masuk ayam masak merah ke dalam mulut, ribuan tunas rasa di lidah kita akan diperkenalkan dengan rasa masam yang datang daripada tomato. Kemudian, rasa daging yang lembap dan beraroma akan tiba sebelum akhirnya sedikit rasa kepedasan akan membekas, meninggalkan kesan rasa yang lazat dan membuatkan si pemakan terasa untuk menambah lagi.
Rasa masam-manis-pedas masakan ini enak dipadankan dengan nasi putih ataupun roti. Tetapi disebabkan lauk ini dikenali sebagai lauk yang meraikan, ia sering kali dimakan khas bersama-sama nasi yang lebih istimewa seperti nasi tomato ataupun nasi minyak di kenduri-kenduri perkahwinan.
Ayam Masak Merah Chef Wan
Ingredients
- 1 ekor ayam tidak kira mahu dipotong kepada berapa bahagian.
- serbuk kunyit
- garam sedikit
- 1 batang serai
- 2 helai daun pandan
- 1 batang kulit kayu manis
- Beberapa biji bunga cengkih
- Beberapa biji buah pelaga
- 1 tangkai daun kari
- ½ mangkuk air asam jawa
- 3-4 sudu besar sos cili
- 1 biji bawang besar dipotong bulat
- 2 sudu besar sos tiram
- 1 biji tomato boleh digantikan dengan 3-4 sudu besar sos tomato, ataupun 1 sudu besar tomato puri
- gula secukup rasa
Bahan untuk dikisar
- 2 biji bawang besar
- 2 inci halia
- 6-8 biji bawang merah
- 8-10 ulas bawang putih
- 2 batang serai dihiris nipis
- 15-20 tangkai cili kering yang dibuang biji dan direbus
Cooking Instructions
- Setelah kepingan ayam dicuci dengan bersih, gaulkannya dengan serbuk kunyit dan garam secukup rasa. Pastikan keseluruhan permukaan daging tersalut rata.
- Panaskan kuali dan tuang minyak masak yang cukup untuk menggoreng. Masukkan kepingan ayam tadi, bersama-sama dengan sebatang serai, daun pandan dan sebatang kulit kayu manis untuk menambah aroma pada daging tersebut.
- Apabila sudah garing, angkat, dan letakkan di tepi.
- Untuk membuat kuah ayam masak merah pula, gunakan minyak gorengan tadi untuk tumiskan bahan kisar, bersama-sama dengan bunga cengkih, buah pelaga dan kulit kayu manis, sehingga pecah minyak. Gunakan api sederhana agar ia tidak cepat hangus.
- Masukkan air asam jawa, sebelum memasukkan kepingan yang telah digoreng tadi.
- Masukkan buah tomato, sos tiram dan gula secukup rasa. Bahagian ini, anda boleh ubah sendiri mengikut citarasa masing-masing.
- Teruskan memasak dalam 5-10 minit lagi. Boleh tambah air kalau kuah terlalu kering. Jangan lupa juga untuk perisakan dengan garam secukupnya.
- Sebelum angkat, masukkan bawang yang telah dipotong bulat tadi sebagai hiasan dan gaulkannya rata.
Calories have been calculated using an online calculator. Nutritional information offered on Honest Food Talks is for general information purposes and is only a rough estimate.
Tips Membuatkan Resepi Ayam Masak Merah Anda Jadi yang Paling Sedap
Walaupun resepi ini mudah untuk dimasak, anda juga boleh melakukan beberapa tips di bawah ini bagi meningkatkan lagi kelazatan masakan anda:
- Jika mahu menggoreng, jangan terus masukkan daging yang masih sejuk beku terus ke dalam minyak yang panas. Selain daripada risiko untuk meletup yang tinggi, perbuatan ini juga akan menjunamkan suhu minyak panas, membuatkan daging tak dapat masak dengan sekata. Sebaliknya, biarkannya dinyahbeku pada suhu bilik selama 30 minit, atau sehingga ia sudah tidak beku lagi.
- Antara komponen yang paling penting dalam ayam masak merah adalah dagingnya. Jadi, bagi mengelakkan daging yang digoreng hangus di luar dan mentah di dalam, pastikan minyak sudah cukup panas sebelum memasukkan ketulan ke dalam kuali. Apabila menggoreng pula, perlahankan api dan gunakan api yang kecil sahaja kerana kalau anda gunakan api yang besar, ia memang akan cepat hangus tanpa sempat isinya masak.
- Elakkan daripada menyejukkan ayam goreng panas di atas tisu dapur. Cara ini akan membuatkannya hilang kerangupannya. Sebaliknya, toskan yang baru digoreng di atas rak penyejuk ataupun penapis besi.
- Setelah menggoreng semua ketulan, minyak gorengan tadi janganlah dibuang. Anda boleh gunakan semula minyak tersebut untuk menumis bahan kisar pula. Dengan cara ini, rasa daging akan meresap masuk ke dalam bahan tumisan lalu meningkatkan kelazatan lauk ayam masak merah ini.
- Bagi mendapatkan sambal tumis yang sedap, anda mestilah menggoreng bahan tumisan sehingga pecah minyak. Cara untuk mengetahui ia sudah pecah minyak adalah apabila minyak sudah terpisah dan terapung daripada sambal. Warnanya juga akan berubah menjadi merah yang gelap.
Selepas ini, anda tidak perlu lagi menunggu tibanya majlis-majlis istimewa untuk merasa lauk ini. Dengan menggunakan resepi di atas, anda sendiri boleh menambah ayam masak merah ini di dalam menu harian untuk menikmatinya bersama-sama keluarga yang tersayang.
Jangan lupa untuk mengikuti kami di Instagram @honestfoodtalks bagi mendapati lagi resepi-resepi lazat!
Tinggalkan Balasan