Kuih seri muka sedap dinikmati tak kira pada waktu pagi semasa sarapan, ataupun semasa sedang berehat-rehat di waktu petang. Yang penting, rasa manis hidangan ini sangat sepadan apabila dimakan sambil menghirup secawan teh panas.
Jump to:
Apa yang Perlu Diketahui Tentang Hidangan Ringan Ini?
Makanan ringan tradisional yang berasal daripada kaum Banjar ini juga dikenali sebagai kuih salat.
Ia terdiri daripada dua lapisan, dan kedua-dua lapisan ini mempunyai rasa dan tekstur yang berbeza. Lapisan di bawah pencuci mulut ini diperbuat daripada beras pulut yang dikukus bersama-sama santan, manakala lapisan atasnya pula adalah sejenis kustard berwarna hijau yang mempunyai perisa pandan.
Gabungan rasa masin pulut dan manis kustard, berserta dua tekstur yang berbeza, membuatkan kuih seri muka menjadi antara hidangan ringan yang mempunyai rasa yang unik dan lazat.
Selain daripada Malaysia, kuih ini popular di negara-negara jiran yang lain seperti di Indonesia, Singapura, dan Brunei. Selain itu juga, pada tahun 2009, Jabatan Warisan Negara telah memasukkan pencuci mulut ini di bawah senarai 100 makanan dan minuman warisan terpenting di Malaysia.
Kepelbagaian Rasa dan Resepi
Rasa utama makanan ini datang daripada daun pandan dan santan yang merupakan antara bahan utama dalam resepinya. Tetapi, ada juga sesetengah resepi yang memperasakan hidangan ini dengan bahan-bahan lain seperti durian dan ubi kayu.
Resepi juga berbeza-beza mengikut tempat ia dibuat dan jenis-jenisnya, seperti contoh di Brunei, ia dikenali sebagai seri rupa dan diperbuat daripada tepung beras.
Manakala resepi variasi Nyonya menggunakan bunga telang untuk mewarnakan lapisan pulut. Kuih seri muka di Kelantan pula mempunyai lapisan atas yang berwarna coklat disebabkan penggunaan gula melaka di dalam adunannya.
Walau apa pun resepi yang digunakan, makanan tradisional ini akan sentiasa lazat apabila dibuat dengan cara yang betul.
Cara Membuat Secara ‘Step by Step’
Disebabkan pencuci mulut ini mempunyai dua lapisan yang berbeza rasa, bahan, dan tekstur, cara pembuatannya mungkin sedikit sukar, lagi-lagi buat mereka yang baru mahu berjinak-jinak dengan aktiviti pembuatan hidangan ringan ini.
Tetapi jikalau setiap langkah-langkah diikuti dengan tertib dan betul, hidangan yang terhasil nanti pasti akan menjadi sempurna!
Kuih Seri Muka
Ingredients
Untuk lapisan bawah
- 400 g beras pulut
- 250 ml santan cair
- 1 sudu besar gula pasir
- 1 sudu kecil garam
- 1 helai daun pandan
Untuk lapisan atas (A)
- 8 helai daun pandan
- ½ sudu kecil jintan manis
- ¾ cawan air
Untuk lapisan atas (B)
- 190 ml santan pekat
- 200 g gula putih
- 60 g tepung gandum
- 5 biji telur ayam
- 1 sudu kecil garam
- Setitik dua pewarna hijau
Equipment
Cooking Instructions
Cara membuat lapisan pulut (lapisan bawah)
- Rendamkan beras pulut minimum selama dua jam, dan tapiskan airnya.
- Masukkan beras pulut tadi ke dalam sebuah bekas dan gaulkan bersama-sama santan, gula, garam, dan air pandan. Anda boleh gunakan santan kotak untuk resepi kuih seri muka ini.
- Kukus adunan tadi selama setengah jam, ataupun sehingga pulut tersebut masak. Jangan lupa untuk menggembur-gemburkan pulut tadi supaya ia tidak berketul-ketul.
- Salutkan loyang dengan minyak dan lapikkan dengan plastik.
- Tuangkan pulut yang dah dikukus tadi ke dalam loyang. Tekan-tekankannya supaya ia menjadi padat dan memenuhi seluruh dasar loyang.
Cara membuat lapisan kustard (lapisan atas)
- Kisarkan kesemua bahan (A) dan kemudian tapiskannya.
- Seterusnya, kisarkan pula bahan (B) sehingga halus, bersama-sama ½ cawan bahan kisar (A).
- Ambil loyang yang dah terisi beras pulut tadi, lalu guris-guriskan permukaannya pulut tersebut dengan garfu supaya lapisan kustard ini boleh melekat setelah siap dimasak nanti.
- Tuangkan bahan kisar (B) tadi ke dalam loyang.
- Kukus selama sejam, ataupun sehingga lapisan atas masak sepenuhnya.
Nutrition
Calories have been calculated using an online calculator. Nutritional information offered on Honest Food Talks is for general information purposes and is only a rough estimate.
Jika anda teringin untuk membuat resepi ini tetapi menggunakan gula Melaka, resepi video oleh malay kitchen ini amatlah sesuai untuk dirujuk.
Tips dan Cara Rahsia untuk Membuat Kuih Seri Muka yang Lazat
Dalam setiap resepi tradisi Melayu, pasti ada beberapa tips dan petua untuk memastikan hidangan yang dimasak menjadi sempurna. Berikut merupakan tips-tips yang boleh diikuti untuk memastikan pencuci mulut ini menjadi:
- Selepas menuang adunan untuk lapisan atas, pastikan anda mengetuk bahagian tepi loyang agar adunan tersebut sekata dan tiada gelembung udara yang boleh merosakkan lapisan itu.
- Lapisan kustard juga perlu dimasak dengan api yang perlahan. Sekiranya api yang digunakan terlalu kuat, gelembung udara bakal muncul, membuatkan lapisan tersebut menjadi tak sekata.
- Untuk mengelakkan permukaan lapisan kustard ‘berkedut’ dan tak sekata kerana air menitik daripada penutup pengukus, balutkan penutup tersebut dengan kain tuala yang bersih untuk menyerap segala air yang tersejat.
- Gunakan pencungkil gigi dan cucukkan pada lapisan kustard untuk ketahui jika ia sudah masak atau belum. Ia sudah masak sekiranya pencungkil lidi yang dicabut bersih.
- Sebelum nak memotong untuk dihidangkan, sejukkannya dulu sehingga suhu bilik sebelum memotongnya dengan pisau yang lembap.
Kuih seri muka dapat bertahan selama 24 jam sekiranya diletakkan di dalam suhu bilik. Kalau disimpan di dalam peti sejuk pula, ia mampu bertahan sehingga 3-5 hari.
Namun, lapisan pulut akan menjadi keras sekiranya disimpan di dalam peti sejuk, jadi untuk mengelakkannya keras, balut bahagian loyang dengan cling wrap.
Satu lagi hidangan ringan tradisional Malaysia yang terkenal dan sedap ialah kuih lapis! Cubalah membuatnya berdasarkan resepi kami.
Hana Sulza
Ikut step by step, hasilnya marvellous